Pelakon kontroversi Tasha Shilla tidak peduli jika penyertaannya dalam Gempak Superstar dikritik penonton program tersebut.

Tasha Shilla atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak, 29, berkata dia sudah lali dengan kutukan dan hinaan masyarakat terhadap dirinya ketika terlibat dengan kontroversi pada tahun lalu.

“Saya sudah biasa dihina, dicerca dan dicaci masyarakat Malaysia. Jadi setakat kritikan tu saya rasa biasa sahaja. Biarlah orang nak cakap apapun, saya sertai Gempak Superstar untuk belajar.

“Lagipun saya memang minat menyanyi dan saya ‘enjoy’ untuk menyertai program ini kerana buat benda yang saya suka.

“Selain itu program realiti ini juga cabar diri saya untuk melakukan perkara yang tak pernah saya lakukan sebelum ini,” kata pelakon yang mengidolakan penyanyi kris dayanti, Sheila Majid dan Ella itu.

Mengulas tentang kehidupan peribadinya, Tasha memberitahu 2016 adalah tahun untuknya mencipta momen yang lebih baik dari sebelum ini.

“Tahun ini saya berazam nak fokus pada bidang seni, karier dan keluarga. Cukuplah tahun lepas kisah-kisah percintaan dan peribadi.

“Kisah 2015 saya jadikan sejarah dan kalau boleh kali ini saya tak mahu kisah peribadi saya ditanya pun. Sebab dah terkena, bila kita share macam-macam orang lebih fokus kepada perkara tesebut.

“2016 saya tampil dengan semangat baru, jiwa baru. Saya tetap Tasha Shila yang sama, cuma tampil dengan semangat baru,” katanya kepada Astro Gempak.

Tasha ditemui ketika Majlis Sidang Media Gempak Superstar di Trec, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam program terbaharu terbitan Astro itu, seramai 10 pelakon tanah air bakal berentap untuk menunjukkan kemampuan masing-masing di pentas nyanyian.

Selain Tasha, turut bertanding sama dalam program itu ialah Nazim Othman, Izreen Azminda, Siti Elizad, Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Arja Lee, Dazrin Kamaruddin, Soffi Jikan dan Ryzal Jaafar.

Menggunakan sistem pemarkahan 50 peratus daripada juri dan selebihnya hasil undian peminat, juara rancangan ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Dihoskan oleh Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad, program Gempak Superstar bakal bersiaran pada jam 9.00 malam, setiap Ahad, bermula 10 April 2016 di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Untuk maklumat lanjut mengenai Gempak Superstar dan mengundi peserta kegemaran anda klik GempakSuperstar

#GempakSuperstar

A video posted by @tashashilla on