Kualiti lakonan melonjakkan nama pelakon bukan berbangsa Melayu tempatan di layar perak. Nama-nama seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Jasmine Suraya dan Sangeeta Krishnasamy antara yang mencuri tumpuan ramai.

Malah, kredibiliti dan bakat yang dimiliki berjaya menjulang nama mereka menerusi pelbagai anugerah yang diterima.

Apa kata kami senaraikan barisan pelakon wanita bukan berbangsa Melayu yang popular di Malaysia.

1. Tan Sri Datuk Seri Michelle Yeoh

Nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan! Seantero dunia sudah cukup mengenali anak kelahiran Ipoh, Perak; Tan Sri Datuk Seri Michelle Yeoh.

Mula mencuri tumpuan menerusi kemunculan dalam filem pecah panggung Tomorrow Never Dies (1997) dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000), Michelle Yeoh kembali menghangatkan layar perak menerusi filem Crazy Rich Asians tahun lalu.

Deretan filem yang mengukuhkan namanya di layar perak antara lain ialah The Lady, The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor dan Guardians of the Galaxy Vol. 2.



2. Carmen Soo

Carmen Soo atau nama sebenarnya Soo Wai Ming telah meninggalkan Malaysia untuk mengasah bakatnya di industri filem luar negara antaranya Hong Kong, Singapura dan Filipina.

Crazy Rich Asians kembali mengangkat namanya untuk dikenali dunia.

Malah, anak jati Kuala Lumpur itu sebelum ini pernah membintangi beberapa filem popular antaranya Baik Punya Cilok, Mein Herz in Malaysia, The Borneo Incident dan Yasmine.




3. Janet Khoo

Janet Khoo Kheng Hoon atau lebih dikenali sebagai Janet Khoo dilahirkan di Air Itam, Pulau Pinang dan pernah mencuri tumpuan menerusi filem Paloh (2003).

Malah, Janet pernah tercalon sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 menerusi filem tersebut.

Selain itu, Janet pernah membintangi filem-filem lain seperti Putera, Kad Cinta (1995) dan Lurah Dendam (1996).




4. Sangeeta Krishnasamy

Penyandang trofi Pelakon Wanita Teraik Festival Filem Malaysia ke-29, Sangeeta Krishnasamy meraih populariti menerusi filem pecah panggung, Adiwiraku sekitar tahun 2017.

Malah, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu pernah membintangi filem Kollywood berjudul Goa.




5. Jasmine Suraya

Siapa yang menonton filem Paskal pasti akan perasan kemunculan Jasmine Suraya Chin, satu-satunya bunga dalam filem itu.

Pelakon kelahiran Kuching, Sarawak itu pernah membintangi filem Rembat, KL Wangan dan Return to Nostalgia.

Malah, Jasmine turut aktif dalam layar kaca tempatan menerusi drama rantaian popular seperti Hero Seorang Cinderella dan Alamatnya Cinta.




6. Elizabeth Tan

Dikenali sebagai penyanyi bersuara unik, Elizabeth Tan atau lebih popular disapa Lizzy turut mencuri tumpuan menerusi filem Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium sekitar tahun 2015.

Selain itu, Lizzy pernah muncul menerusi filem Busker tahun lalu dan beberapa drama hebat seperti My Darling, Inspektor Daniel dan Senafas Rindu.



Kini, penyanyi lagu Semua Sudah itu kembali mencetuskan fenomena menerusi filem Misteri Dilaila bergandingan dengan aktor kacak Zul Ariffin.



Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.

Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.

Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.

Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya.

Jangan lupa saksikan filem hebat ini yang mendapat sentuhan sutradara terkenal, Syafiq Yusof di pawagam seluruh negara bermula 21 Februari 2019!


Foto: IG, Carian Google, GLAM, InTrend