Aktres cantik Fasha Sandha mendedahkan yang dia tidak serik dengan perkahwinan.

Berpisah dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli pada Januari lalu, Fasha dikurniakan dua orang anak iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemyma.

“Saya tidak serik dengan perkahwinan tetapi saya bersyukur dikurniakan dua orang anak. Itulah harta yang saya cari 10 tahun lalu. Saya selalu mengimpikan untuk menjadi seorang ibu, jadi saya tidak serik dengan perkahwinan tersebut.

“Saya belajar sesuatu yang tinggi nilainya iaitu apabila berkahwin, perlu mendapat restu. Itu yang saya belajar daripada perkahwinan saya sendiri,” kata Fasha dalam sebuah temubual dengan Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai hubungan Fasha dengan bekas mertua, pelakon drama bersiri Chinta ini memberitahu yang dia tidak berhubung dengan mereka.

“Ada sebab mengapa saya tidak berhubung dengan mereka. Saya ada sebab sendiri yang tidak perlu saya kongsi dengan orang ramai,” katanya.

Sebelum ini Fasha pernah mengeluarkan kenyataan tidak pernah melihat bekas suaminya menangis sehinggalah hari dia diceraikan di mahkamah beberapa bulan lalu.

Dalam perkembangan terbaru, Fasha bakal membintangi drama bersiri 120 episod, La Loba bersama Nazim Othman. Selain itu, Fasha bakal muncul dalam filem Dukun Doktor Dani yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Menerusi Dukun Doktor Dani, Fasha bergandingan bersama Taufik Batisah, Raysha Rizrose dan Allahyarham Yus Jambu. Filem tersebut merupakan arahan sulung sutradara Sabri Yunus.

Di bawah adalah video kenyataan Fasha Sandha tentang perkahwinannya terdahulunya:

Kredit: Utusan Malaysia