Pelakon, Lana Nodin memaklumkan pembedahan jantung anak keduanya, William Daud McKienzie yang berusia dua bulan terpaksa ditangguhkan selepas jantung bayi itu terhenti selama 10 minit semalam.

Menurut Lana, jantung William yang mengalami masalah injap (aortic stenosis) terhenti selepas dimasukkan ubat bius sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Lana menceritakan detik cemas itu sambil mengalirkan air mata menerusi Insta Story miliknya semalam.

“Berat saya nak cakap, masa bagi bius jantung anak saya stop selama 10 minit. Doktor kemudiannya melakukan bantuan pernafasan resutasi kardiopulmonari (CPR) tetapi tiada respon.

“Namun selepas melakukan kaedah Defibrilasi iaitu kejutan elektrik sebanyak dua kali barulah dapat dihidupkan semula jantungnya.

“Procedur terpaksa ditangguhkan, sekarang anak saya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pantauan selama 48 jam.

“10 minit tu lama tau, kita dalam air dua minit pun dah lemas… Alhamdulillah, setakat ini dia dah stabil.

“Saya cuba menjadi seorang yang kuat tapi bukan mudah untuk kita terima bila tahu jantung anak kita berhenti 10 minit.

“Doktor pun tak putus asa, terus bagi CPR. Minta anda semua tolong doakan lah anak saya…” kongsinya sebak.

Terdahulu, William dikesan mengalami masalah injap jantung sejak dilahirkan dua bulan lalu.

Lana mendirikan rumah tangga dengan David atau nama Islamnya, Mohd Daud Mckinzie pada 15 Mei 2015 dan dikurniakan anak pertama, Gia Quinn McKienzie, 2.

Foto: Instagram @lananodinmckienzie