Selepas menjadi salah seorang peserta akhir Akademi Fantasia sekitar enam tahun yang lalu, penyanyi jelita kelahiran Singapura, Aisyah Aziz terus mengorak langkah dalam arena seni suara serantau.

Selain mengukuhkan nama di negaranya sendiri di seberang tambak, dia juga berjaya mencipta nama di Malaysia. Berbekalkan suaranya yang unik dan wajah yang cantik, Aisyah bukan sahaja sudah menjadi salah seorang penyanyi yang disegani tetapi juga telah meraih banyak anugerah sepanjang kerjayanya yang berusia kurang sepuluh tahun.

Kembali dengan buah tangan terbarunya yang berjudul Bila Entah, lagu ini merupakan hasil ciptaan komposer terkenal, Ezra Kong dan Hael Husaini.

Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang telah ditinggalkan kekasihnya namun wanita itu masih meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapatkan lelaki itu kembali.

"Aisyah mempunyai suara yang unik. Maka kita gunakan kelebihan tersebut dalam memberikan kelainan terhadap single terbarunya itu. Bukan itu sahaja, genre muzik yang dibawanya itu juga berlainan dari kebiasaan.

"Lebih-lebih lagi, ia mendapat sentuhan dari penyanyi dan komposer yang sedang meningkat naik iaitu Hael Husaini dengan hasil kerjasama Ezra Kong.

"Kami berharap agar lagu ini dapat diterima oleh peminat muzik tanah air," kata Feros selaku Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records dalam satu kenyataan media.

Lagu Bila Entah boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Muzik video lagu Bila Entah ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.