Pelakon Emma Maembong mengesahkan dirinya tidak lagi bertudung semenjak tiga hari lalu.

Menerusi laporan BH Online, Emma yang sudah lima tahun memakai tudung ditemui peminat yang mula merakamkan foto dan video Emma dengan imej tanpa hijab di tempat awam.

Emma menegaskan tidakan terbabit yang diambil olehnya bukanlah contoh yang baik dan tidak ada kena mengena dengan kontroversi foto tular yang melanda Emma baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Fatimah Rohani Ismail ini mengakui imannya belum kukuh dan selesa membiarkan keputusan yang dilakukan dengan berat hati itu ditanggung sendiri.

"Apa juga alasannya, saya mengaku khilaf ini datang daripada diri sendiri. Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan. Selepas ini, saya harus telan segala kecaman dengan lapang dada.

“Untuk kita istiqamah dalam bertudung bukan perkara mudah. Pasti ada ujian yang menjelma. Jika tidak betul-betul bersedia, pasti terumbang-ambing juga iman diri. Ia (tindakan membuka tudung) bukan contoh yang baik dan jangan ikut saya.

“Cuma dalam tempoh bertudung itu, bukan saya tidak mencuba untuk membulatkan hati. Namun, saat saya tewas dan perkara itu tular. Hukuman bertalu-talu datang, tetapi saya terima dengan hati terbuka,” kata Emma kepada BH Online.

Sebelum ini, Emma mula memakai hijab secara suka-suka dengan memakai selendang di leher.

“Cara saya mengenakan selendang di leher dulu juga pantas dikecam netizen. Ada yang cakap, lebih baik bertudung penuh dan sempurna. Sedikit demi sedikit, saya mencuba untuk bertudung.

“Ketika itu, saya cuba bermuhasabah dan memperbetulkan diri. Selepas saya mula bertudung dulu pun, seperti biasa cara berpakaian dan mengenakan tudung itu juga terus mengundang kritikan. Semua benda bagai serba tak kena. Benar, susah untuk saya memuaskan diri orang lain.

“Saya seperti berperang dengan diri sendiri. Tetapi, saya lawan segala perasaan negatif. Namun, saat hanyut dengan kekhilafan diri, baru-baru ini. Saya terus dihukum seperti mempermainkan agama. Mereka yang memberi komen pedas itu pula seolah-olah mendapat jaminan masuk ke syurga. Malah ada yang cakap, apabila sudah ‘kantoi’, baru nak minta maaf. Saya akur, diri ini manusia biasa yang tak pernah sempurna,” katanya.

Emma juga menafikan dia mengenakan tudung kerana mengusahakan perniagaan hijab.

“Perniagaan tudung dibuat ketika saya belum lagi menutup kepala. Secara peribadi, saya suka membeli tudung dan selendang, malah mempunyai sedikit bakat melukis, termasuk menjadikan tudung sebagai kanvas lukisan.

"Agak berat bagi ahli keluarga menerima keputusannya untuk tidak lagi berhijab.

“Cuma, mereka akur dan tahu apa yang saya lalui selama ini. Mereka lihat dengan mata sendiri segala episod jatuh bangun dan ‘sakit’ saya menjadi anak seni.

“Mereka bukanlah menggalakkan saya tidak bertudung, tetapi dalam masa sama, berharap supaya suatu hari nanti saya akan kembali istiqamah,” katanya.

Sumber: BH Online
Foto: MStar