Pelakon Elfira Loy menerima kecaman pengguna media sosial selepas memuat naik ucapan untuk bekas tunangnya, Sufian Suhaimi.

Menerusi laman sosial Twitter, Elfira mendoakan agar Sufian menang di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) dan dengan kemenangan itu, 'derita' dan penceritaan Sufian akan habis.



Elfira yang kini berada di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah Umrah bersama suaminya, Faris Khairol Anuar berkongsi tweet tersebut beberapa minit sebelum keputusan AJL 33 diumumkan malam tadi.

BACA: "Walau Apa Jua Silap El Pada Anda, Ampun Maaf Diminta" - Elfira Loy

AJL 33 menyaksikan Sufian membawa pulang trofi Persembahan Terbaik kerana menampilkan penghayatan yang mendalam.

Menggunakan props seperti pelamin, tirai putih dan lampu chandelier, timbul dakwaan mengatakan peralatan yang digunakan oleh Sufian seakan sama dengan pelamin perkahwinan Elfira dan Faris.

Rentetan dari tweet tersebut, Elfira mula menerima kecaman netizen yang menganggap tindakan pelakon itu sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Elfira pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Sufian dan bertunang pada 6 Oktober 2017. Hubungan itu tidak panjang dan berakhir pada 18 Februari 2018.

Akhirnya, Elfira melangsungkan pernikahan dengan Faris pada 1 Januari lalu di Cyberjaya.