Peserta program realiti Dewi Remaja 2018/2019, Anna Jobling menafikan desas desus dia menjadi dalang penyebaran video kelab malam yang melibatkan bekas juara program itu, Haneesya Hanee bersama dua finalis lain.

Menerusi laporan Harian Metro, Anna yang mendapat tempat keempat menganggap ia hanya cakap-cakap segelintir pihak dan merasakan tuduhan itu adalah fitnah yang sengaja dilemparkan kepada dirinya.

“Ingin dijelaskan, bukan saya yang sebarkan video itu. Saya nak bersihkan tuduhan ini. Setakat main tuduh saja, semua orang boleh cakap.

“Ia adalah fitnah kepada saya. Tetapi tak mengapa, saya maafkan mereka. Saya hanya mahu ‘move’ dan lupakan semua. Paling penting teruskan bersikap positif dengan orang sekeliling,” katanya.

Tambah Anna, dia turut menjadi mangsa serangan netizen tak bertanggungjawab di laman Twitter dan Instagram.

"Mereka tak tahu cerita sebenar. Tapi, nak buat macam mana. Saya hanya buat tak tahu saja.

"Perkara yang terjadi ini membuatkan saya terganggu apabila masyarakat memandang serong gelaran Dewi Remaja yang dimiliki.

“Selepas program ini kalau boleh nak terus berkawan dan sama-sama berjaya dalam industri. Tetapi, apabila perkara ini berlaku, ia turut membabitkan saya.

“Sedangkan sebagai dewi perlu menjaga imej dan menjadi contoh kepada remaja dan masyarakat amnya.

“Namun, perkara ini membuatkan kami jadi sebaliknya. Kami dah tak nampak seperti contoh yang baik. Persepsi masyarakat sedikit berubah. Jadi ia menyedihkan saya,” katanya.

Terdahulu, nama Anna dikaitkan netizen apabila ada finalis terlibat dalam video tersebut berkongsi paparan skrin perbualan antara mereka.

Selain itu, ada beberapa status Anna di laman Twitter dikatakan ditujukan kepada individu yang terlibat dengan kontroversi terbabit dan ia menguatkan tuduhan.

Sumber: Harian Metro