Pengarah tempatan dinasihatkan tidak memburukkan rakan pengarah lain atau meletakkan harga yang lebih rendah dengan niat untuk mendapat tawaran kerja tersebut.

Perkara itu diberi penekanan oleh Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) terhadap ahli mereka dalam menjalankan tanggungjawab secara profesional.

Sebelum ini wujud situasi di mana produksi tempatan lebih mudah memilih pengarah yang dibayar gaji lebih rendah.

Situasi ini pernah berlaku apabila produksi mahu menjimatkan kos pembelanjaan yang mahu digunakan pada kos lain seperti bayaran tinggi pada pelakon.

FDAM mengariskan 15 perkara di bawah Kod Amalan Profesional yang perlu dipatuhi pengarah-pengarah yang menjadi ahli mereka.

Sebagai persatuan yang mewakili golongan pengarah tidak kira drama mahupun filem, pengarah dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang salah laku jenayah atau mengambil kesempatan terhadap mereka yang bekerja dibawah seliannya.

Bagi ahli yang tidak mematuhi kos amalan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib atau digantung keahlian atau digugurkan daripada menjadi ahli mengikut peraturan sedia ada dalam perlembagaan persatuan.

Dalam pada itu, FDAM juga menekankan kepada bakal pengarah agar tidak hanya ketika hendak mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) baru tergesa-gesa mahu menjadi ahli tanpa melaui proses dan syarat sepatutnya.

Walaubagaimanapun, FDAM tidak menghalang kedatangan pengarah yang mahu turut serta persatuan ini sebagai ahli baru.

Teks oleh: Elrafaei Sapi