Pelawak veteran, Hamid Gurkha mengakui hampir 30 tahun tidak beraksi di pentas komedi sebelum beraksi bersama kumpulan Puteh di Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016).

Menurut Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman, dia terharu apabila diberi kepercayaan dan peluang untuk muncul di program komedi seperti MLM 2016.

“Rasanya kali terakhir saya beraksi di atas pentas komedi seperti program MLM 2016 di zaman 80an. Jika dahulu saya kerap juga buat persembahan di fun fair atau mana-mana majlis rasmi.

“Alhamdulillah saya rasa gembira sebab sudah lama tidak muncul dalam program seperti ini. Kalau tidak dijemput kumpulan Puteh saya selalunya akan terperap di rumah sahaja,” kata Hamid Gukrha kepada Astro Gempak.

Walau bagaimanapun jelas Hamid, dia dapat melihat perbezaan ketara cara pembawaan cerita pelawak dahulu dan masakini beraksi di pentas komedi.

“Saya agak terkejut lihat perbezaan pembawaan cerita dan karakter pelawak zaman sekarang. Kalau dulu pelawak veteran seperti saya akan bawa cerita atau lawak yang bermesej.

“Pelawak baru bawa cerita keadaan semasa atau kadang kala ‘lawak hentam’ dan janji penonton boleh ketawa. Pada saya pelawak perlu bawa cerita yang bermesej dan berguna untuk disampaikan,” katanya.

Dalam pada itu, kumpulan Puteh tergerak hati untuk menjemput Hamid Gurkha ke program MLM 2016 selepas menonton filem lakonannya, ‘Sikit Punya Gila’.

“Sebenarnya Pak Hamid adalah idola kami. Tercetusnya idea nak jemput beliau apabila kami tonton filem Sikit Punya Gila. Alhamdulillah apabila berjumpa Pak Hamid dia bersetuju nak bergandingan dengan kami.

“Cuma sedikit ralat sebab kami hanya dapat berlatih dengan Pak Hamid sehari sahaja sebab perlu fokus dengan tema yang kedua pula,” ujar Puteh.

Tiada penyingkiran yang berlaku pada minggu suku akhir MLM 2016 yang bertemakan 'Artis Undangan’ dan ‘Radio’.

Maharaja Lawak Mega 2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran secara langsung dari Dewan Teater Selangor, Shah Alam setiap hari Jumaat bermula jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk info lanjut.