Pengarah terkemuka tanah air, Mohamad Mohamad Khalid atau lebih mesra dipanggil Mamat Khalid kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Menurut isteri beliau, Hasmah Hassan, Mamat dimasukkan ke hospital itu pada Jumaat selepas mengadu sakit dada dan batuk.

"Dia kini dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi dan doktor memberikan dos untuk bagi dia berehat," katanya kepada Astro Awani.

Bagaimanapun, dia berharap supaya rakan taulan dapat memberi ruang kepada Mamat untuk berehat secukupnya semasa menerima rawatan ketika ini.

Hasmah turut berharap semoga rakyat Malaysia termasuk rakan taulan serta peminat industri filem negara mendoakan yang terbaik buat Mamat.

Sebelum ini, Gempak melaporkan pengarah prolifik itu menghadiri sebuah acara hiburan dengan berkerusi roda.

Mengakui mengalami masalah kesihatan, Mamat mendedahkan dia didiagnos mempunyai masalah berkaitan buah pinggang.

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 itu terkenal menerusi karya-karya hebat seperti filem trilogi Hantu Kak Limah, Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Lebuhraya Ke Neraka dan telefilem Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel.