Penyanyi Black Hanifah mengakui dia dan isteri, Naquila Yasirah atau Cira semakin sibuk menguruskan rumah tangga sejak kelahiran cahaya mata kedua mereka, Rindu Dayyana.

Namun begitu, menurut Black, dia dan Cira sentiasa berkerjasama dengan baik untuk menguruskan dua orang anak.

"Tak dinafikan memang ada perubahan dalam menguruskan keluarga, saya dan Cira semakin sibuk sejak kelahiran anak kedua ini tapi segalanya masih terkawal dengan baik kerana saya dan isteri banyak berkerjasama.

"Bagi saya, itu perkara normal dalam kehidupan rumah tangga, ibu bapa lain di luar sana juga mengalami situasi yang sama.

"Perkara yang paling penting adalah kerjasama dan persefahaman di antara suami dan isteri," kata Black kepada Gempak.

Black dan Cira telah mendirikan rumah tangga pada 13 September 2013 dan dianugerahkan anak lelaki, Khaleef Dayyan, 4, dan Rindu Dayyana yang dilahirkan pada 25 Oktober tahun lalu.