Bintang Akademi Fantasia musim keenam, Nubhan mengakui gementar untuk kembali menyanyi selepas tiga tahun menyepi dalam industri muzik tanah air.

Menurut Nubhan dia memikirkan masih adakah peminat mahupun pendengar yang ingin mendengar single terbarunya, Selamat Jalan Cinta.

"Saya akui berasa gementar dengan seribu satu persoalan bermain-main di fikiran saya.

"Sudah berulang kali saya bertanyakan kepada penulis lirik single terbaru ini mengenai keputusan kemunculan semula serta sokongan peminat saya sehinggakan berasa muak.

"Saya mempersoalkan semua itu sebelum melancarkan single ini.

"Namun, dia menyakinkan saya kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri.

"Saya juga yakin dan berpijak dengan bakat sendiri untuk kembali dalam industri nyanyian bagi menghiburkan pendengar," katanya kepada Gempak.

Nubhan ditemui ketika majlis pelancaran single dan muzik video di Neway Karaoke, One Utama.

Tambah Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, dia membuat keputusan untuk kembali serius dalam bidang nyanyian.

"Dulu saya terpaksa meninggalkan sebentar dunia hiburan kerana menumpukan perhatian kepada perniagaan saya kerana tidak mampu melakukan dua perkara dalam satu masa.

"Sekarang ini, perniagaan saya sudah berjalan lancar.

"Saya sudah mempunyai banyak masa untuk memberi tumpuan kepada industri nyanyian.

"Sejak kecil minat saya ke arah nyanyian, takkan ingin dilupakan begitu saja," katanya lagi.