Ramai minat tengok perlawanan bola sepak termasuk golongan wanita tapi betul ke mereka minat bola atau cuma nak tengok lelaki kacak.

Sejauh mana kebenaran wanita minat bola sepak diperjelaskan dan diberi fokus dalam perbincangan lebih lanjut bersama penyampai radio Zayan, Lin Ariffin.

Tampil dengan segmen terbaharu, Awek Bola @ ZOTD, Lin yang popular dengan segmen #zotd kali ini mengajak golongan wanita ke studio untuk berbicara lanjut pasal bola sepak.

"Segmen ini setiap Jumaat jam 10 pagi dan saya akan bersembang dengan wanita-wanita bercerita pasal bola sepak tentang apa yang mereka tahu. Jika mereka adalah peminat tegar sesebuah pasukan perlu membawa koleksi seperti jersi dan cenderamata lain yang mereka ada," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, adanya segmen baru ini dapat menyingkap sejauh mana tahap kecenderungan dan minat seorang wanita terhadap bola sepak.

Menariknya, pada esok pagi menerusi segmen Salam Bros bersama Mawi dan Anas akan menyaksikan 'battle' atau pertembungan antara dua penyampai lelaki itu bersama Lin iaitu berbicara mengenai lelaki dengan wanita yang minat bola sepak.

Ini bermakna, Lin yang kebiasaan bertugas jam 10 pagi akan menyahut cabaran 'battle' dengan Mawi bersama Anas dalam slot awal pagi.

Salam Bros yang bersiaran dari jam 6 sehingga 10 pagi untuk kali ini juga menyaksikan ketiga penyampai ini memakai jersi pasukan kegemaran mereka masing-masing.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @lin_ariffin