Bagi peminat filem sains fiksyen, XX Ray, kemunculan pelakon senior Datuk Jalaluddin Hassan adalah suatu yang dinantikan peminat dalam filem francais itu.

Ia menjadi kenyataan selepas 24 tahun, pengarah terkenal, Aziz M Osman kembali dengan filem ketiganya, XX Ray III.

Bagi Jalaluddin sendiri, kenangan ketika membintangi XX Ray II lalu meninggalkan nostalgia apatah lagi dia dijemput semula untuk terbabit sama dalam filem terbaharu kali ini.

"Pada saya filem ini memberikan nostalgia selepas saya terlibat dalam XX Ray II dulu.

"Apabila saya ditawarkan untuk XX Ray III saya rasa Aziz ini main-main ke apa tapi rupanya dia ada wawasan sendiri, dia ada ceritanya yang mahu dipersembahkan kepada peminat filem ini," katanya pada sidang media selepas tayangan perdana filem XX Ray III di Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini.



Akuinya, selain plot penceritaan baru yang ingin disampaikan, aspek teknologi seperti imej janaan komputer (CGI) dalam filem ini dianggap sedikit berbeza dengan XX Ray II.

"Saya menerimanya kerana nostalgia dalam XX Ray II. Walaupun babak saya tidak banyak tetapi saya pastikan penampilan saya tidak sia-sia," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang masih membawakan watak Hang Tuah juga menyatakan penghargaan pada Aziz di atas kepercayaan pengarah itu untuk memberinya peluang terus terbabit sama dalam filem kali ini.

Selain Jalaluddin, filem ini juga menampilkan gandingan pelakon senior dan muda antaranya Izzue Islam, Nonny Nadirah, Adam John, Dazrin Kamaruddin, Ardell Aryana dan Ashraf Muslim.

Begitu juga, filem ini dijayakan pelakon berpengalaman seperti Datuk Rahim Razali, Razak Ahmad, Saiful Apek termasuk Aziz sendiri yang berlakon sebagai Profesor Amir. Ia akan ditayangkan di pawagam bermula 24 Januari ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi