Kumpulan Ruffedge menafikan dakwaan penganjur sebuah acara yang mendakwa mereka mengenakan bayaran tinggi sebanyak RM 40,000 untuk mengadakan persembahan.

Menurut Ruffedge, mereka tidak mengenakan bayaran setinggi itu dan menegaskan itu adalah khabar angin semata-mata.

"Memang kami sudah lama dalam industri dan mempunyai pengalaman, tapi kami tidaklah mengenakan bayaran setinggi itu untuk membuat persembahan.

"Kami mempunyai 'rate card' kami sendiri dan kami tidak sesuka hati mengenakan bayaran, segalanya tertakluk kepada apa yang telah ditetapkan.

"Namun, jika benar sekalipun dakwaan itu, jumlah sebesar itu harus dibahagikan kepada enam orang dan perlu juga dibayar kepada pihak pengurusan," kata Sein yang merupakan salah seorang anggota Ruffedge.

Ruffedge ditemui di Majlis Pelancaran Single dan Video Muzik Seperti Mereka bertempat di Pejabat Urusan Warner Music Malaysia, petang semalam.

Terdahulu, Ruffedge yang dianggotai oleh Cat Farish, Azan, Zain, Mode, Sein dan Amir ini telah meraih populariti menerusi lagu-lagu hit mereka seperti Tipah Tertipu, Bila Rindu, Goyang, Khayalan dan banyak lagi.

Video muzik rasmi Seperti Mereka ini boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia.