Selepas pencapaian mengadakan persembahan di Istana Budaya (IB) dua tahun lalu, Konsert 3 Suara kembali menjengah peminat tapi di lokasi luar Lembah Klang.

Penyanyi popular, Datuk Jamal Abdillah berkata, persembahan kali ini memilih lokasi di Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak pada 6 April depan.

"Persekitaran untuk persembahan kali ini membawa kelainan dengan IB dan saya berharap bahagian teknikal membantu saya untuk mendapat persembahan yang terbaik," katanya.



Jelasnya, perhubungan erat antara beliau dengan kru dalam konsert ini turut menyumbang dalam memilih lokasi persembahan yang sesuai.

"Tercetusnya ilham dan keinginan saya ini sebenarnya datang daripada kru saya, pemuzik, bahagian tiket, artis-artis lain serta teknikal yang semua nampak mudah.

"Kerjasama begitu erat dengan saya memberikan semangat pada saya untuk melakukan konsert akan datang. Tidak lupa pada Kerajaan Negeri Perak yang memberi ruang dan sokongan yang penuh bersama Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Negeri Perak (KASIH) dalam menjayakan persembahan ini nanti," katanya.

Dari aspek pemilihan lagu antara tiga penyanyi tersebut, Jamal menyatakan lagu-lagu yang pernah dipersembahkan di IB akan dibawa ke persembahan kali ini yang dijangka bermula pada jam 8.30 malam.

"Ada beberapa lagu yang saya nampak boleh dimasukkan dan yang lama dikeluarkan. Maknanya, lagu popular yang benar-benar orang suka, itu dimasukkan dan persembahan kali ini diharap dapat memuaskan hati semua pihak," katanya.



Selain jualan tiket, Jamal berharap persembahan ini mendapat sambutan daripada khalayak untuk bersama membantu di mana kutipan tiket akan disalurkan kepada KASIH.

Menariknya, persembahan kali ini juga membuka ruang pada aktiviti lain seperti gerai jualan, food truck, car boot sales, zumba, buskers, street futsal, sukan rakyat, pertandingan karaoke lagu Jamal Abdillah, Ameng dan Zamani, pertunjukan kereta Ferrari dan Lamborghini, pameran motor vespa klasik dan Harley Davidson.

Harga tiket bermula dari RM83, RM103, RM133 dan RM183 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com atau menghubungi di talian 03-2170 6333.

Teks oleh: Elrafaei Sapi