Juara Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong, Muhammad Rafiq Ismail, 22, tidak menyangka dipilih sebagai pemenang Anugerah Jagoan Nadi Arena (AJNA) 2018 dengan 52.04% undian. ‪

“Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka akan memenangi AJNA kerana semua yang tercalon bukan calang-calang orangnya dan hebat-hebat belaka.

“Terima kasih kepada mereka yang mengundi dan memberikan sokongan kepada saya selama ini,” kataya ketika ditemui Gempak bertempat di Studio Astro Arena pada Sabtu.

Rafiq mengatasi pemain badminton negara, Goh Jin Wei (17.16%), jaguh lumba basikal trek negara Azizulhasni Awang (12.78%), olahraga paralimpik, Ridzuan Puzi (11.37%) dan bina badan, Syarul Azman Mahen Abdullah (6.65%).

Undian dibuat oleh peminat menerusi platform digital Astro Arena yang mewakili 40% menyaksikan Rafiq mendominasi dengan 44.5%.

60% baki undian pula dibuat oleh pengamal media dan persatuan sukan kebangsaan.

Edisi kedua AJNA mencatat rekod baharu apabila lebih 40 ribu peminat mengundi dalam semua platform digital Astro Arena sepanjang kempen selama tiga minggu, bermula 26 Disember 2018.

Terdahulu, pemain tenpin boling negara itu sepanjang 2018 adalah juara Kejohanan Boling Dunia di Hong Kong, emas Sukan Asia Indonesia (masters lelaki) dan pingat perak Sukan Asia (trio lelaki).