Pengacara popular, Datuk Aznil Haji Nawawi atau mesra disapa sebagai Pak Nil meluahkan rasa simpati dan memberi nasihat kepada bekas juara Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee yang ditarik semula gelaran tersebut ekoran video kontroversi mengenai dirinya baru-baru ini.

Pak Nil berkongsi perkara itu menerusi ruangan Instagram (IG) Storynya hari ini.

"Hanee, awak masih terlalu muda, kesilapan pasti berlaku cuma bagaimana kita bangun dan membetulkan kesilapan lalu adalah langkah seterusnya.

"Allah uji Hanee bukan pengajaran untuk awak seorang, buat orang lain juga yang boleh belajar dari kesilapan itu.

"Awak membesar tanpa ayah di sisi, mungkin tiada figura ayah untuk menegur, tetapi pengalaman adalah bapa kepada pegajaran, learn and move on," tulisnya.



Penarikan gelaran terbabit diumumkan menerusi sebuah sidang media yang diadakan oleh Nu Ideaktiv, pemilik jenama Dewi Remaja di pejabat mereka di Shah Alam, Selangor.

Editor Majalah Remaja, Faiz Aimman menerusi sidang media tersebut menjelaskan, tiada penyandang gelaran Dewi Remaja 2018/2019.

Secara ringkas, tiada peserta yang ditabalkan sebagai Dewi Remaja untuk edisi kali ini memandangkan gelaran tersebut hanya dirujuk kepada satu pemenang sahaja.