Pelakon Syafiq Kyle sudah bersedia untuk menerima kritikan dan kecaman apabila menjayakan karakter Ustaz Adam dalam drama bersiri Nur 2.

Mengakui karakter terbabit lebih berani dan berbeza berbanding musim pertama, Syafiq melihat perkara ini sebagai cabaran.

"Lebih banyak babak panas yang 'daring' dalam musim kedua drama bersiri itu nanti. Saya sudah sedia untuk menerima kritikan dan kecaman tetapi saya yakin, orang akan memahami setelah selesai menonton keseluruhan cerita.

"Saya tidak sabar mahu menantikan reaksi peminat dan penonton kerana lebih banyak mesej yang akan disampaikan dalam Nur 2," katanya.

Syafiq ditemui di majlis pelancaran muzik video Semakin Siti Sarah di Red Box The Gardens, Mid Valley baru-baru ini.


Mengulas mengenai pembabitannya dalam muzik video terbabit, Syafiq teruja memandangkan ini merupakan muzik video pertama lakonannya.

"Semakin menjadi muzik video pertama yang saya jayakan. Sebelum ini ada banyak tawaran tetapi atas kekangan masa dan tugas, saya tidak dapat menjayakannya.

"Bekerja dengan Sarah merupakan satu pengalaman baru dan saya berharap muzik video ini sukses," kata Syafiq.

Muzik video Semakin boleh ditonton sekarang menerusi saluran Indigital Sdn Bhd.