Gelaran Dewi Remaja 2018/2019 milik Haneesya Hanee ditarik semula ekoran penularan video kontroversi yang membabitkan dirinya baru-baru ini.

Penarikan gelaran terbabit diumumkan menerusi sebuah sidang media yang diadakan oleh Nu Ideaktiv, pemilik jenama Dewi Remaja di pejabat mereka di Shah Alam, Selangor.

Editor Majalah Remaja, Faiz Aimman menerusi sidang media tersebut menjelaskan, tiada penyandang gelaran Dewi Remaja 2018/2019.

Secara ringkas, tiada peserta yang ditabalkan sebagai Dewi Remaja untuk edisi kali ini memandangkan gelaran tersebut hanya dirujuk kepada satu pemenang sahaja.

Pemenang naib juara, Tia Sarah masih kekal sebagai pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2018/2019.


“Secara jelas, tiada pemenang untuk edisi kali ini. Tia Sarah masih kekal di tempat kedua dan Sherin Amiri di tempat ketiga.

"Sementara itu, Aween Ismail masih kekal sebagai Dewi Inspirasi dan Arena Iman pula menyandang gelaran Dewi Favorite.

“Tiada sesiapa daripada mereka yang akan menggantikan atau menyandang gelaran tersebut kerana status itu telah jelas milik Haneesya.

"Tetapi, berikutan insiden yang berlaku, kami mengambil pendirian untuk tidak meletakkan mana-mana pemenang gelaran lain sebagai pengganti bagi mengisi kekosongan berkenaan," kata Faiz.

Tambah Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Nu Ideaktiv, semuanya dilakukan demi menjaga kredibiliti Dewi Remaja.

"Kami memutuskan untuk tidak mempunyai pemenang tempat pertama bagi edisi kali ini. Untuk pencarian Dewi Remaja yang akan datang, kami akan tabalkan penyandang kesepuluh.

“Jadi, finalis lain yang mempunyai gelaran akan terus mewakili jenama ini dalam sesi sidang media, bertemu pihak penaja atau sebarang keperluan berkaitan Dewi Remaja pada masa akan datang,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Nu Ideaktiv turut kesal terhadap apa yang berlaku, lebih-lebih lagi ia terjadi setelah pemenang terbaru dimumkan.

Pihak Nu Ideaktiv merasakan tindakan sewajarnya perlu diambil kerana perkara terbabit telah pun berlaku.

Sementara itu, turut diperjelaskan bahawa video tular berkenaan berlaku sebelum pertandingan akhir berlangsung.

Insiden itu terjadi hampir sebulan sebelum malam episod Dewi Remaja 2018/2019 berlangsung.

"Pada malam kemenangan itu, individu yang terlibat berada di rumah bersama keluarga.

"Apapun, pihak kami memuji tindakan Haneesya yang mempunyai keberanian dengan tampil secara profesional demi memperbetulkan keadaan.

"Kami tetap menyokong perjalanannya dalam apa sahaja yang dilakukan selepas ini,” tambah Faiz.

Turut berlangsung, sesi penyerahan semula replika cek, trofi, sash dan tiara Dewi Remaja 2018/2019 kembali kepada pihak Nu Ideaktiv.