Istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bukan setakat menjadi kebanggaan rakyat negeri Pahang, tetapi seluruh negara.

Selain istiadat yang penuh adat resam serta tradisi Kesultanan Melayu, ramai netizen turut terpaku dengan kehadiran para kerabat diraja yang sebelum ini tidak ramai mengetahuinya.



Kehadiran Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu'adzam Sultan Ahmad Shah turut mencuri tumpuan netizen, namun media sosial juga kini heboh dengan kisah serta gambar-gambar bakal Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Sultan Abdullah diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, merupakan Tengku Panglima Besar Pahang.



Baginda adalah anakanda kedua kepada pasangan diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Tengku Hassanal Shah memulakan pendidikannya di Sekolah Rendah Sherburne, United Kingdom pada 2002 hingga 2007 sebelum melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah St Thomas pada 2008 hingga 2012 dan University of Nottingham selepas itu.



Pada Mei 2018, Tengku Hassanal tamat pengajian dari Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland dengan ijazah dalam bidang Hubungan Antarabangsa. Baginda kini sedang melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom selama setahun.

"Waris ganti akan saya tentukan dalam masa terdekat, saya kena berbincang dengan pihak keluarga saya dan Insya-Allah saya percaya semua pun dah boleh ramal kalau ikut tradisinya," titah Sultan Abdullah kepada media selepas istiadat pemasyhuran baginda.



Mengikut tradisi Istana Pahang, selaku putera sulung, Tengku Hassanal akan dilantik sebagai Tengku Mahkota Pahang menggantikan ayahandanya.

Bagaimanapun, sekiranya Sultan Abdullah diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda mungkin melantik majlis khas untuk menjalankan tugas-tugas Pemangku Raja Pahang, susulan ketiadaan Tengku Hassanal yang melanjutkan pengajian di luar negara pada ketika ini.

Sumber: Awani dan Portal Diraja Pahang
Gambar: Google