Gitaris kumpulan Kristal, Rody mengakui tidak pernah berhubung atau berjumpa dengan penyanyi Lan Solo selepas masing-masing memilih untuk meneruskan perjalanan seni sendiri.

Menurut Rody, dia tidak mengetahui mengenai perkembangan terkini Lan kerana akaun media sosial miliknya telah disekat (block) oleh penyanyi itu.

"Sejak Lan tidak lagi bersama sebagai Kristal, kami sudah tidak lagi berhubung ataupun berjumpa.

"Malah Lan juga telah 'block' kami anggota yang lain di media sosial terutamanya di Instagram.

"Jadi kami tidak mengetahui mengenai perkembangan terkini dia dan apa aktiviti yang dilakukan oleh Lan.

"Faham sahajalah kalau dia bertindak begitu. Saya boleh ibaratkan ia sebagai pasangan kekasih yang sudah putus cinta," katanya kepada Gempak.

Rody berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Live Showcase 30 tahun XPDC di Restoran DSaji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Orang ramai yang ingin menyaksikan Live Showcase 30 tahun XPDC boleh dapatkan tiket bermula RM 80 hingga Rm 130.

Live Showcase 30 tahun XPDC akan diadakan pada 9 Februari ini di Restoran DSaji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.