Pelakon cantik, Nelydia Senrose berkongsi pengalaman mengerjakan ibadah Umrah di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.

Nelydia berangkat ke sana bersama ahli keluarganya, termasuklah Uqasha Senrose dan Raysha Rizrose.

"Saya akui, perasaan itu bercampur baur. Pada mulanya, saya rasa takut, gelisah, gementar, teruja dan banyak lagi.

"Tetapi, selepas melihat Kaabah di depan mata, saya rasa sebak. Saya terharu kerana apa yang selama ini saya lihat menerusi gambar dapat saya tatap dengan mata sendiri.

"Perasaan itu sangat hebat. Saya sangat bersyukur kerana berpeluang untuk sampai ke sana bersama keluarga tercinta," kata Nelydia.

Nelydia ditemui di majlis sambutan ulang tahun Datuk Seri Siti Nurhaliza #SitiGolden40th di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tambah aktres drama bersiri Cinta Tiada Ganti ini lagi, dia langsung tidak memikirkan soal kerja apabila berada di sana.

"Saya tak fikir langsung mengenai kerja. Saya rasa sangat tenang dah hari saya penuh dengan aktiviti ibadah. Perasaan itu sukar digambarkan.

"Insya-Allah, jika diberi peluang, setiap tahun saya mahu menjejakkan kaki ke sana dan jika diberikan rezeki, saya juga mahu menunaikan ibadah Haji," kata Nelydia lagi.