Penyanyi Siti Sarah mendedahkan anak perempuannya, Dzahira Talita Zahra, 5, menangis selepas menonton muzik video Semakin.

Muzik video arahan suami Sarah sendiri, Shuib Sepahtu dan dibantu oleh CK Faizal itu menampilkan Sarah dan Syafiq Kyle sebagai bintang jemputan.

"Talita mungkin terkejut melihat babak-babak yang ditampilkan dalam muzik video ini, termasuklah babak Syafiq menarik tudung saya. Mungkin dia anggap ini merupakan kejadian sebenar.

"Saya sendiri pelik, apa yang menyebabkan dia bersungguh-sungguh menangis. Bila difikirkan semula, mungkin dia rasa sedih bila melihat ibunya diperlakukan sebegitu rupa.

"Walaubagaimanapun, saya berpuas hati dengan hasil muzik video ini dan bersyukur semuanya dipermudahkan," kata Sarah.


Sarah ditemui di majlis pelancaran muzik video Semakin di Red Box The Gardens, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Sarah menumpukan perhatiannya untuk menjalani persiapan bagi Anugerah Juara Lagu ke-33 yang berlangsung pada 3 Februari hadapan.

"Selepas ini, perkara itu menjadi tumpuan pertama saya. Saya tidak mementingkan vokal ataupun persembahan, saya mementingkan persiapan saya sendiri sebagai seorang 'Siti Sarah'.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya melangkah ke pentas berprestij itu, jadi saya akan melakukan yang terbaik," katanya.

Muzik video Semakin boleh ditonton sekarang menerusi saluran Indigital Sdn Bhd.