Penyanyi dan bintang program Big Stage, Ariff Bahran mengatakan dia lebih selesa untuk menumpukan lebih perhatian dalam bidang nyanyian berbanding lakonan.

Meskipun sudah mula berjinak dalam dunia lakonan, Ariff merasakan dia harus memperbaiki diri dan terus mencipta kejayaan dalam bidang nyanyian.

"Saya dah cuba kedua-dua bidang, tetapi buat masa ini, saya merasakan saya mahu lebih fokus dalam bidang nyanyian.

"Masih banyak perkara yang perlu dipelajari, jika saya berlakon, ia memerlukan komitmen dan masa yang lebih berbanding menyanyi.

"Jadi untuk tahun ini, saya berharap karier saya sebagai seorang penyanyi berjalan lancar dan semoga semuanya dipermudahkan," ujarnya.

Ariff berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Era Digital Muzik Awards (EDMA 2018) di Red Box, The Gardens Mall, Isnin lalu.

Dalam perkembangan lain, Ariff kini sedang sibuk mempromosikan single terbarunya yang berjudul Juara Dusta, tontonan muzik video lagu ini telah mencecah 715 ribu tontonan setelah dua bulan ditayangkan di YouTube.