Hael Husaini menjadi komposer dan penyanyi yang meraih pencalonan terbanyak untuk ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-33(AJL33) yang akan berlangsung pada 3 Februari depan.

Salah satunya menerusi lagu Hajat yang turut meledak sepertimana lagu Jampi tahun lalu.

Bagaimanapun, versi terbaharu lagu Hajat dalam format balada mencuri hati peminat yang rata-rata mahukan ia dipersembahkan di pentas AJL33 nanti.

"Lagu itu sebenarnya saya buat khas untuk drama Kan Ku Kejar Cinta Kamu.

"Versi balada itu dicipta khas untuk bersenyawa dengan drama itu sendiri sebenarnya.

"Tetapi untuk AJL33, saya tak pasti lagi untuk menyanyikan versi itu atau tidak, tetapi kalau ada acara lain yang mengizinkan saya menyanyikan versi itu saya akan buat.

"Pada AJL33 nanti saya mungkin akan back to basic sepertimana lagu asal.

"Bagaimana saya pada malam itu? Kalau tiba-tiba terkeluar balada itu gimiklah tu," katanya kepada Gempak.

Sejak dimuat naik di YouTube lagu Hajat versi balada belum pernah dipersembahkan dalam mana-mana acara.

Versi khas itu telah digubah semula oleh Sharon Paul dan sejak dimuat naik di YouTube pada 19 Disember lalu, muzik videonya telah mendapat lebih 350,000 tontonan.

Kan Kukejar Cinta Kamu merupakan drama bersiri adaptasi novel dengan judul sama karya novelis terkenal, Fauziah Ashari.

Sebelum ini, Fauziah cukup popular dengan novel hebat Ombak Rindu yang pernah diadaptasikan ke layar perak sekitar tahun 2011.

Selain Amyra dan Fendy, pelakon lain yang terlibat dalam drama bersiri ini ialah Dalimawati, Hafidz Roshdi, Mia Nasir, Syamim Farid dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Kan Kukejar Cinta Kamu setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Gunakan hashtag #KanKukejarCintaKamu #KKCK di laman sosial untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini.