Jejaka Jepun, Takaaki Terry yang tular di laman sosial selepas menyanyikan lagu Faizal Tahir berjudul Assalamualaikum akui menyimpan impian untuk bergelar penyanyi di Malaysia.

Demi mengejar impiannya, Takaaki, 24, memberitahu mengambil risiko dengan membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran di Osaka.

Saya sudah lama simpan impian menjadi penyanyi tapi mahu memulakannya di luar negara terutamanya di Malaysia.

“Ya saya nekad berhenti kerja. Saya mempertaruhkan kehidupan saya untuk mengejar impian bergelar penyanyi di negara ini.

“Sebenarnya saya dah lama saya ingin menjadi penyanyi dan saya jatuh cinta dengan lagu-lagu melayu.

“Antara lagu pertama yang membuatkan saya jatuh cinta adalah Dari Mata (Jaz Hayat), saya juga suka dengar lagu Pematah Hati (Nabila Razali).

“Saya berpeluang ke Kuching, Sarawak pada April tahun lalu dan dari situlah saya mendapat peluang mendengar banyak lagu Melayu.

“Bagi saya, kebanyakan melodi lagu Melayu sangat indah itu yang membuat saya mula meminati lagu dan mempelajari Bahasa Melayu” katanya.

Takaaki ditemui ketika majlis sidang media pelancaran lagu dan muzik video pertamanya, Konichiwa Dunia bertempat di Warner Music Malaysia, Petaling Jaya baru-baru ini.


Tambah Takaaki lagi, dia berasa sangat gembira kerana diberi peluang untuk bekerjasa dengan Faizal Tahir.

“Tak pernah terfikir ini akan terjadi, rasa bersyukur kerana dipertemukan dengan Faizal Tahir. Sampai sekarang masih lagi tak percaya, rasa macam mimpi,” ujarnya.

Takaaki kini bernaung di bawah syarikat rakaman milik Faizal Tahir, Faithful Music selepas penyanyi itu berjaya menjejakinya di Osaka tahun lalu dan melamarnya sebagai penyanyi.