Setiap individu pastinya mempunyai cerita peribadi yang jarang dikongsi dengan orang lain seperti mana yang pernah dilalui pelakon popular, Johan As'ari sebelum bergelar pelakon.

Pelakon filem Tujuh ini berkongsi satu cerita yang dianggap pengalaman istimewa berlaku pada dirinya suatu ketika dulu.

"Pada masa itu saya belum berlakon lagi. Suatu malam saya tidur dan bermimpi menaiki bas mini lama.

"Ada konduktor bas pada masa itu tapi suasana di dalamnya seperti kelabu, hitam dan putih. Tiada warna kecuali Allahyarham Tan Sri P Ramlee," katanya kepada Astro Gempak.

Sambungnya, P Ramlee dalam mimpinya itu duduk di barisan hadapan di tengah bas.

"Beliau kemudian menoleh dan senyum ke arah saya. Saya terbangun dari tidur dan berkata - Ya Allah mimpi P Ramlee dan saya seronok dapat berjumpa dengannya meskipun hanya dalam mimpi," katanya.

Ujarnya, selepas mimpi tersebut dia menerima tawaran menjadi pelakon untuk drama bersiri, Juvana.

"Sebelum itu saya ada pergi ke uji bakat drama Juvana. Saya bukan kata saya P Ramlee tapi ia adalah kenangan bertemu P Ramlee.

"Saya tak nak cerita pada siapa takut nanti orang lain beranggapan saya sengaja mereka cerita," katanya.

Johan yang bakal muncul dengan filem tiada tajuk arahan Mawi pada April nanti tidak menganggap diri sendiri sebagai pelakon terbaik tapi berharap semua manusia menjadi terbaik untuk mengadap Allah suatu hari nanti.

"P Ramlee seorang pelakon dan saya juga pelakon. Apabila orang lain mengangkat beliau sebagai Seniman Agung, saya rasa seronok dan ia juga rezeki buat saya sebagai pelakon.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @johanarrif