Aktres cantik, Anzalna Nasir mendedahkan dia tidak pernah putus menerima tawaran lakonan.

Namun begitu, dia tidak dapat menerima tawaran terbabit kerana sedang hamil empat bulan.

Anzalna berkongsi perkara terbabit menerusi ruangan Instagram Stories miliknya.

Anzalna berkongsi video sekitar sesi 'meet and greet' pelakon drama bersiri Kan Kukejar Cinta Kamu yang disertai oleh adiknya, Mia Nasir.



Menerusi drama arahan Yusry Abd Halim itu, Mia memegang watak antagonis bernama Qistina.

"I'm so proud of my sister. Well done @mianasir91. I love watching everyone in Kan Kukejar Cinta Kamu.

"Tiada rezeki untuk Anzalna berlakon tahun ini. Terima kasih kerana sampai sekarang tidak putus offer berlakon.

"Kita merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang-Nya. Sentiasa bersyukur, Alhamdulillah," tulis Anzalna.

Ini merupakan kehamilan pertama aktres Memori Cinta Suraya itu selepas mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Hanif Zaki pada 21 Februari 2016.

Dalam pada itu, drama bersiri Kan Kukejar Cinta Kamu masih hangat bersiaran di slot Megadrama.

Kan Kukejar Cinta Kamu merupakan drama bersiri adaptasi novel dengan judul sama karya novelis terkenal, Fauziah Ashari.

Sebelum ini, Fauziah cukup popular dengan novel hebat Ombak Rindu yang pernah diadaptasikan ke layar perak sekitar tahun 2011.

Selain Mia, pelakon yang terlibat dalam drama bersiri ini ialah Fendy Bakry, Amyra Rosli, Dalimawati, Hafidz Roshdi, Mia Nasir, Syamim Farid dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Kan Kukejar Cinta Kamu setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Gunakan hashtag #KanKukejarCintaKamu #KKCK di laman sosial untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini.