Mahkamah Majistret hari ini membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas pelakon terkenal, Datuk Farid Kamil atas kesalahan dadah yang dihadapinya Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, Majistret Nor Arifin Hisham memerintahkan wang jaminan terhadapnya dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Pada perbicaraan semalam, pihak pembelaan memohon mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan ke atas suami kepada pelakon Diana Danielle itu kerana kegagalannya hadir pada prosiding itu Jumaat lalu.

Peguam, Megat Syazlee Mokhtarom berkata, anak guamnya memohon maaf kerana tidak dapat hadir memandangkan beliau mempunyai urusan kerja di Johor Bahru, Johor.

"Bagaimanapun, setelah diberitahu, beliau bergegas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur namun keretanya rosak di Danga Bay, Johor Bahru, Johor pukul 4 pagi.

"Keretanya sudahpun ditunda ke sebuah bengkel di Tampoi, Johor dan beliau kemudiannya dapat dihubungi kira-kira pukul 11 pagi Jumaat lalu memandangkan bateri telefonnya sudah habis," katanya.

Megat Syazlee kemudiannya menyerahkan resit-resit pembayaran kepada mahkamah sebagai bukti ketidakhadiran anak guamnya itu.

Pelakon Lagenda Budak Setan itu kemudiannya memohon maaf dan tidak berniat untuk memperlekehkan masa mahkamah malah sentiasa memberikan komitmen penuh pada perbicaraan sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran kemudiannya memberitahu, tarikh perbicaraan iaitu 11 Januari itu sememangnya sudah diberitahu sebulan lebih awal dan bukannya secara tiba-tiba seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Katanya, pihak pendakwaan juga tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan pihak pembelaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan bagi kes dadah yang dihadapi pelakon itu ditambah RM2,000.

Sumber: Kosmo! Online