Pelakon Nelydia Senrose mendedahkan dia sepatutnya menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya, Hafiz pada tahun lalu.

"Sebenarnya, saya merencana untuk menamatkan zaman bujang tahun lalu. Namun begitu, perancangan terbabit tak menjadi dan terpaksa ditangguhkan kerana kekangan kerja.

"Pada penghujung tahun pula, saya sudah sibuk dengan persiapan untuk mengerjakan ibadah Umrah bersama keluarga dan berlepas ke Tanah Suci Mekah.

"Saya terfikir, mungkin juga masanya belum tiba, sebab itu perancangan terbabit tidak menjadi kenyataan.

"Ketika mengerjakan ibadah Umrah baru-baru ini, saya juga ada berdoa agak urusan perkahwinan saya dipermudahkan tahun ini. Insya-Allah, saya bakal meneruskan perancangan berkahwin pada tahun ini," kata Nelydia.

Nelydia ditemui di majlis sambutan ulang tahun Datuk Seri Siti Nurhaliza #SitiGolden40th di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Enggan mendedahkan tarikh spesifik bilakah dia bakal mengakhiri zaman bujang, adik kepada aktres Uqasha Senrose bakal memaklumkannya kemudian.

"Saya sendiri tak berani nak cakap bila. Insya-Allah, jika persiapan sudah dilakukan sebanyak 80 peratus, barulah saya berani untuk berkongsi berita gembira itu.

"Saya mohon semua pihak mendoakan yang terbaik untuk saya agar semuanya dipermudahkan," katanya lagi.