Pelawak dan penyampai radio ERA, Danial Zaini meluahkan rasa kesal apabila dirinya ditinggalkan oleh kekasih yang dikenali sejak dua tahun lalu.

Menurut Danial, dia terkejut apabila mengetahui kekasihnya itu melangsungkan pertunangan dengan seorang lelaki lain daripada rakannya.

"Kami telah bercinta sejak dua tahun lalu dan kami juga ada berbincang untuk membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya namun dia meminta saya untuk memberikan masa.

"Tetapi, tak sangka pula masa yang dimahukan itu adalah untuk dia mengenali orang lain dan memilih untuk bertunang dengan jejaka tersebut.



"Saya cuma dapat tahu dia bertunang pada hari kejadian dan perkara itu diberitahu oleh rakan saya.

"Remuk hati saya bila dapat tahu dia bertunang... Kemudian, saya terus pergi ke rumahnya selepas majlis bertunang selesai dan berjumpa dengan keluarganya.

"Namun, semuanya sudah terlambat dan saya anggap mungkin jodoh antara kami telah tiada.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan berharap dia berbahagia," katanya kepada Gempak.

Tambah Danial, demi menjaga nama keluarga dan bekas kekasihnya itu dia tidak mahu mendedahkan identiti wanita tersebut.