Saingan program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) semakin sengit sehingga kumpulan Masin akhirnya kecundang.

Meskipun Masin dikritik juri begitu konsisten dalam persembahan pada setiap minggu tapi mereka tetap tersingkir pada persembahan minggu ke-10 lalu.

Salah seorang anggota kumpulan ini iaitu Mohamamad Aizat Ahmad Nazri atau Jiggy menyatakan banyak faktor yang menyebabkan persembahan mereka pada malam itu serba tak kena.

"Mungkin cara penyampaian kami kurang atau dari aspek 'energy'. Mungkin juga kami terlalu penat, banyak benda sebenarnya yang kami sendiri sukar nak jelaskan.

"Bagi kami, bahan jenaka yang disampaikan tidak terlalu gempak atau teruk. Ia berada di tengah-tengah, bahaya sama ada jatuh atau berjaya tapi kali ini lebih pada jatuh sebenarnya," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, dia tetap berbangga dengan Vicha dan Mamat sepanjang 10 minggu bersama-sama melalui pelbagai perkara sebelum mereka akur rezeki sampai di sini.

"Jika ada rezeki lebih, saya mahu buka bisnes kecil-kecilan tapi untuk persembahan komedi, jika ada jemputan macam tahun lepas, kami akan teruskan.

"Jika jemputan untuk Masin, kami pergi bersama jika untuk individu, itu masing-masing," katanya.

Jiggy juga mengucapkan terima kasih pada juri dan penonton yang menyokong persembahan mereka selama ini.



Refika Novianti Faturohman (Vicha) pula menyatakan rasa syukur biarpun penyingkiran mereka sama seperti musim sebelumnya iaitu tersingkir pada minggu ke-10 dan selepas Joras.

"Ini semua percaturan Allah. Saya sendiri lebih relaks untuk menghiburkan orang ramai. Selepas ini saya tetap berada di Malaysia dan mahu berkarya di sini," katanya.

Rakan mereka Muhammad Abd Rahim Shah (Mamat Bora) menyatakan dia akan pulang ke Singapura selepas ini.

"Saya bangga dengan Masin. Beza pada tahun lepas orang tak berapa kenal sangat Masin tapi pada tahun ini banyak pencapaian yang kami boleh tengok balik dan ia memang terbaik," katanya.

Menariknya, kali ini Masin sudah mempunyai kelab peminat iaitu Masin FC.

"Peminat kami tidak terlalu ramai tapi kami menghormati dan menghargai apa yang mereka buat untuk Masin, mengundi dan meluang masa bersama kami.

"Kami merancang untuk mengadakan acara makan bersama peminat selepas ini," katanya.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak