Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dalam usianya yang bakal mencecah 40 tahun pada 11 Januari ini dia lebih memilih melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menurut Siti, dia memilih untuk memberi sumbangan balik kepada masyarakat daripada menyertai dunia politik.

"Apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni dan Warisan (Aswara) dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Pintar, lebih banyak pembabitan saya dalam aktiviti kemasyarakatan.

"Ini adalah salah satu sumbangan saya kepada masyarakat dengan memberi semula kepada mereka.

"Hati tenang, hati senang apabila jadi artis, menghiburkan orang dengan cara sendiri, dapat turun jumpa masyarakat, menolong mana yang boleh, itu saya rasa lebih menyenangkan," katanya kepada Gempak.

Siti ditemui pada rakaman siaran langsung program Go Shop selama 2 jam di Astro Bukit Jalil, semalam.

Tambah penyanyi lagu Anta Permana berkata dia telah mencapai segala keinginan yang diimpikan.

"Alhamdulillah, yang penting saya diberikan kesihatan yang baik dan bertambah matang.

"Usia 40 tahun boleh dikatakan saya telah mencapai satu fasa di mana apa yang saya inginkan telah tercapai.

"Saya berasa bersyukur kerana masih berada di dalam industri seni ini sejak usia saya 16 tahun," katanya lagi.