Pernah ditipu pelbagai pihak selepas mencuba nasib dalam satu program realiti TV, Thalia Rasul mengambil iktibar daripada pengalaman silam untuk terus fokus dalam bidang nyanyian.

Ujar gadis berusia 31 tahun ini, dia pernah berdepan dengan situasi di mana hanya janji mulut untuk memberikan tawaran kerja tapi ia hanyalah omong kosong.

"Pada masa itu, saya susah dapat 'job' sebab pihak lain beranggapan saya mempunyai kontrak dengan satu pihak.

"Rasa tak seronok bila orang lain mengatakan perkara yang tidak betul pasal saya tapi bila bekerjasama, baru mereka tahu saya seorang yang menepati masa dan apa yang diperkatakan pada saya selama ini tidak benar," katanya kepada Astro Gempak.



Thalia juga yang pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan kini tampil mempromosikan single terbarunya berjudul Diratah Hiba.

"Lagu ini membawa konsep kemanusiaan dan kerinduan terhadap insan yang telah pergi. Momen itu membuatkan pendengar menjadi hiba," katanya.

Lagu genre balada ciptaan Rosli Ahmad manakala lirik ditulis Andy Sulaiman mula diperdengarkan pada khalayak sejak November tahun lalu.

"Memang susah nak 'survive' sebab ramai penyanyi baru. Sambil menyanyi, saya juga membuat bisnes Sambal Ketuk Abah," katanya.

Disebalik kesungguhannya mengilap bakat sendiri, dia juga mengakui sudah menampilkan imej berhijab sejak penghujung tahun 2015.

"Masa itu saya kerja di pejabat dan gemar mengayakan pakaian seksi. Suatu hari apabila balik ke rumah, tiba-tiba saya menangis.

"Lalu, saya teringat pesan arwah Abah yang masih hidup ketika itu mengatakan jika mahu menyanyi boleh tapi kena jaga solat dan pakaian sebab orang lain lagi hormat pada kita," katanya.

Ibu tunggal kepada seorang cahaya mata ini mengakui pengalaman insan yang mendapat hidayah Allah memang benar berlaku seperti mana berlaku ke atas dirinya sendiri.

"Memang betul orang kata apabila mendapat hidayah dan ia benar wujud," katanya yang pernah bersekolah di sekolah agama maahad.

Teks oleh: Elrafaei Sapi