Masuk minggu kesembilan program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018), saingan antara peserta semakin sengit sehingga ada antara mereka gagal memberikan persembahan terbaik.

Ketua Juri, Douglas Lim mengakui meskipun ada peserta yang menunjukkan persembahan menghiburkan pada minggu sebelumnya tapi sukar dijangka nasib mereka untuk persembahan akan datang.

"Melawak adalah satu bidang seni yang tak bagi 'can'. Ia boleh sikit saja tak kena, kesannya besar," katanya kepada Astro Gempak.



Pada saingan minggu lalu, Douglas memilih kumpulan Bocey dan Shiro sebagai peserta MLM 2018 yang paling menyerlah.

"Saya juga pelawak, mereka semua pelawak profesional dan rakan seperjuangan saya. Jadi, saya tidak berhak bagi nasihat pada mereka.

"Saya tahu betapa susah cabaran yang mereka perlu buat. Apa yang boleh saya katakan ini bukan Maharaja Lawak Mega yang pertama.

"Mereka tahu pada saat ini, penyingkiran akan berlaku. Ada yang menang dan ada yang kalah," katanya.

Dalam menilai persembahan setiap peserta, Douglas memberi peringatan pada tujuh peserta MLM 2018 yang masih tinggal agar lebih fokus dalam persembahan selepas ini.

"Kalau boleh lupakan elemen pertandingan buat sementara, pentingkan elemen hiburan. Hanya buat persembahan untuk orang ramai.

"Saya pun tak tahu itu nasihat yang bagus atau tidak," katanya.

Jangan lupa menonton MLM 2018 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan On Demand.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak