Pelakon Fendy Bakry mengakui dirinya gementar apabila membaca jalan cerita drama bersiri Kan Kukejar Cinta Kamu yang sedang hangat ditayangkan di slot Megadrama.

Menerusi drama bersiri arahan Yusry Abd Halim itu, Fendy bergandingan bersama Amyra Rosli.

"Pada awalnya, saya membaca jalan cerita yang mempunyai beberapa babak intim yang perlu saya lakonkan bersama Amyra.

"Saya akui, saya agak gementar kerana memikirkan harus menjayakan babak terbabit. Bagaimana saya mahu menjayakan babak yang agak 'daring' kerana sebenarnya saya tak ke arah itu," kata Fendy.

Tambah Fendy, semuanya dapat dijayakan selepas berbincang dengan pengarah dan Amyra sendiri.

"Namun begitu, hasil perbincangan dengan pengarah dan Amyra, kami dapat menjayakan babak-babak terbabit.

"Jika ada babak yang terlalu intim, produksi akan menyediakan pelakon gantian dan menggunakan trik kamera," kata Fendy.

Kan Kukejar Cinta Kamu merupakan drama bersiri adaptasi novel dengan judul sama karya novelis terkenal, Fauziah Ashari.

Sebelum ini, Fauziah cukup popular dengan novel hebat Ombak Rindu yang pernah diadaptasikan ke layar perak sekitar tahun 2011.

Selain Amyra dan Fendy, pelakon lain yang terlibat dalam drama bersiri ini ialah Dalimawati, Hafidz Roshdi, Mia Nasir, Syamim Farid dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Kan Kukejar Cinta Kamu setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Gunakan hashtag #KanKukejarCintaKamu #KKCK di laman sosial untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini.