Juara Big Stage, Sarah Suhairi ingin memberikan fokus dalam bidang nyayian dan menolak beberapa tawaran lakonan.

Selepas berjaya menghabiskan drama pendek yang berdurasi 10 minit lakonan bersama Nabila Razali dan Syifa Melvin, Sarah ingin kembali fokus dalam kariernya sebagai seorang penyanyi.

“Setakat ni saya baru je berlakon satu drama #SisCuba. Ia merupakan mini drama yang berdurasi selama 10 minit dan ada lima episod saja. Alhamdulillah, semuanya dah selesai.

"Itu merupakan percubaan pertama saya berlakon tetapi saya mahu mencuba untuk menimba pengalaman.

“Saya ada juga dapat tawaran lakonan, cuma saya tak ambil kerana ia memerlukan komitmen yang sangat lama. Saya takut saya tak boleh memberikan komitmen sebab ada karier yang lain," katanya.

Walaubagaimanapun, 2019 bakal menjadi tahun yang agak mencabar buat pelantun lagu Pedih ini kerana dia sedang berusaha menyiapkan album mini yang bakal dikeluarkan tahun ini.

“Saya rasa 2019 mungkin menjadi tahun yang agak mencabar sebab saya dah letakkan satu harapan untuk diri saya sendiri keluarkan mini album, maka saya kena kerja keras untuk semua perkara itu menjadi kenyataan, Insya-Allah,” tambahnya lagi.

Bermula di platform media sosial, nama Sarah Suhairi menjadi sebutan selepas membuktikan kemampuannya sebagai the next big thing apabila menjuarai program Big Stage yang pertama.

Sumber: Astro Awani