Namanya Sophia Fredskild mungkin masih agak baru dalam industri seni muzik tempatan, namun bakatnya pasti mampu mencuri perhatian mereka yang menghargai kualiti persembahan.

Berbekalkan paras rupa yang jelita dan suara yang merdu, Sophia memulakan langkah awalnya dalam arena seni suara Malaysia berbekalkan lagu pertamanya yang berjudul Menanti Cinta.

Lagu ciptaan Sophia sendiri bersama dengan Shazee Ishak ini turut menyaksikan pembabitan Sophia bersama SB Othman sebagai penulis lirik.

Malah lagu ini seumpama pengenalan buat peminat muzik Malaysia yang mungkin baru mengetahui bahawa Sophia bukan sahaja mampu menyanyi tapi juga mencipta dan menulis lagu.

Selain itu, lagu ini juga mempunyai versi Inggeris dengan judul Waiting For Love yang juga dicipta dan ditulis oleh Sophia dan Shazee.

Menurut Sophia, lagu ini mengisahkan tentang penantian kepada seseorang yang sesuai dan sepadan untuk hadir ke dalam hidup.

Ia juga menceritakan mengenai kesabaran dalam menempuhi cubaan demi mencari dan menunggu cinta sejati.

Fasih berbahasa Inggeris dan Danish, Sophia mengakui yang dia sedang cuba untuk memperbaiki dan menambah kefasihannya dalam berbahasa Melayu.

Baru sahaja berusia 20 tahun, gadis kacukan Melayu-Denmark ini memang sudah lama menyimpan impian untuk menceburi bidang seni sejak kecil lagi.

Maka tidak hairanlah sekiranya dia sudah mencipta lagu pertama pada umur 13 tahun dan pernah terbabit dalam banyak persembahan serta pementasan teater.

Sophia bakal muncul dengan lagu terbarunya tidak lama lagi yang juga akan diterbitkan dalam dua bahasa.

Untuk mengetahui perkembangan terbaru Sophia, layari laman web www.sophiafredskild.com