Juara Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016), Bocey mengakui terjadinya pergaduhan di antara mereka bertiga kerana salah faham di sepanjang MLM 2016 berlangsung.

“Saya akui, kami memang ada bergaduh. Namun begitu, pergaduhan yang timbul adalah semata-mata kerana kerja. Kami mahu memberikan yang terbaik kepada peminat.

“Adakalanya, semasa kami berada dalam proses untuk mengumpulkan bahan lawak, kami mempunyai perbezaan pendapat dan pergaduhan pun timbul,” kata Fad kepada Astro Gempak.

Tambah Achey, perselisihan yang timbul menjadi antara cabaran terbesar kepada mereka dalam mengharungi perjalanan di MLM 2016.

“Pergaduhan yang timbul memang memberi cabaran besar kepada kami di sepanjang MLM 2016. Namun begitu, kami sedar batasnya dan kami bergaduh pun kerana kerja sahaja.

“Kami mengambil sifat bertolak ansur dan segera menyelesaikan masalah yang timbul demi memberikan yang terbaik kepada semua peminat di luar sana,” kata Achey.

Memenangi hadiah berupa RM500,000 dan trofi bersempena kejayaan mereka merangkul tempat pertama, Bocey berhasrat mahu mengadakan kenduri untuk meraikan mereka yang menyokong perjalanan karier Bocey.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada Bocey. Kami sangat bersyukur kerana telah diberikan kejayaan untuk merangkul tempat pertama di MLM 2016. Kami ada merangka untuk mengadakan jamuan atau kenduri bagi meraikan peminat.

“Kami amat berterima kasih dan akan menggunakan duit kemenangan dalam menyediakan kenduri kepada orang ramai untuk berkongsi rezeki,” kata Abam mengakhiri perbualan.