Pelakon Nelydia Senrose menolak tawaran untuk membintangi drama sekuel Nur 2.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh pengarah drama Nur 2, Shahrulezad Mohameddin pagi tadi.

"Secara rasminya, Nelydia Senrose tak jadi join cast Nur 2 due to her personal reason which is abang respect lah.

"Mungkin watak itu terlalu daring untuk dia yang sedang mengerjakan umrah sekarang," tulis pengarah itu.



Shahrulezad turut memuat naik paparan skrin perbualan antaranya dan Nelydia berhubung tawaran membintangi drama tersebut.




Menerusi perbualan itu Nelydia terlebih dahulu mendapatkan pandangan dan keizinan keluarganya sebelum menerima tawaran itu.

Drama Nur melakar kejayaan apabila dinobatkan Drama Rantaian Terbaik pada Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini.

Nur dilakonkan oleh Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi.

Susulan kejayaan drama tersebut, sekuel Nur 2 bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pengarah itu masih mencari individu yang layak untuk menggantikan Nelydia bagi menjayakan watak Juita.

Nelydia kini berada di Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah bersama keluarganya.