Tahun 2018 meriah dengan pelbagai berita selebriti menerima kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap hidup berkeluarga.

Ada selebriti yang menyambut cahaya mata pertama sebagai penyeri rumah tangga, ada juga yang sudah mempunyai anak dan menambah bilangan zuriat pada tahun ini.

Selain memberikan nama unik kepada bayi mereka, kisah serta pengalaman yang dikongsi selebriti ketika kehamilan serta proses bersalin turut mendapat perhatian ramai peminat.

Ini merupakan senarai 10 pasangan pilihan Gempak yang menyambut kelahiran cahaya mata pada tahun 2018:

Jihan Muse

Pelawak dan pengacara Jihan Muse yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ungku Hariz ini selamat melahirkan cahaya mata pertamanya, Ungku Arsalan Haq pada 25 Januari lalu.

Bayi lelaki seberat 3.85 kilogram ini dilahirkan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor tepat jam 10.15 malam.

Jihan dan Hariz turut memberikan gelaran 'baby ninja' kepada cahaya mata mereka.

Nora Danish

Bintang filem Cuti-Cuti Cinta ini menerima kehadiran seorang bayi lelaki, Mohamed Neqayl hasil perkahwinannya bersama Nedim Nazri Aziz.

Nora selamat melahirkan bayi comel seberat 2.98 kilogram itu pada 22 Februari lalu di sebuah hospital swasta di ibu kota.

Sebelum ini, Nora dan Nedim pernah mempunyai zuriat hasil perkahwinan terdahulu sebelum mereka bernikah pada 30 Mac 2017.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

Bayi sulung penyanyi nombor satu negara ini sememangnya dinantikan ramai. setelah 11 tahun menanti, Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikurniakan dengan kehadiran Siti Aafiyah.

Bayi comel seberat 3.55 kilogram itu dilahirkan secara pembedahan tepat jam 8.17 pagi di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pada 19 Mac lalu.

Siti turut mendedikasikan sebuah lagu khas untuk permata hatinya, Comel Pipi Merah.

Jep Sepahtu

Selepas selamat bernikah dalam sebuah majlis tertutup pada 25 Februari 2017, pelawak Jep Sepahtu dan isteri, pelakon Sari Yanti menerima kehadiran bayi perempuan bernama Dariya Inara pada 25 April lalu.

Sari menjalani proses bersalin di sebuah hospital swasta dan ia menjadi kejutan kerana Dariya lahir tiga minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan.

Sebelum ini, Sari turut memiliki dua anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 8, dan Baasit Al Haq, 6, hasil pernikahannya yang terdahulu.

Johan

Penyampai radio ERA dan pelawak kelahiran program Raja Lawak, Johan dan isteri, pelakon Ozlynn menyambut kelahiran anak kelima mereka, Nur Latifah Moleiq Hanania.

Mesra disapa sebagai Moleiq, bayi perempuan comel itu dilahirkan pada 17 Jun lalu.

Sebelum ini, pasangan bahagia itu dikurniakan dengan empat orang cahaya mata iaitu Ariq, Sodiq, Haziq dan Cantiq.

Adam Corrie

Hampir 10 tahun menanti kelahiran permata hati, pelakon yang terkenal dengan watak antagonis, Adam Corrie dan isteri, Fazema Mohd Fuad menerima kehadiran cahaya mata sulung.

Bayi lelaki yang diberi nama Adam Fateh Lee ini dilahirkan di sebuah pusat perubatan swasta pada tanggal 11 Julai lalu.

Bintang filem KL Gangster yang kini berusia 50 tahun itu berkahwin dengan Fazema, 40, pada 21 November 2008.

Sharnaaz Ahmad

Pelakon drama bersiri Awak Sangat Nakal ini menerima kehadiran seorang bayi lelaki, Jebat Jayden Ahmad hasil perkahwinannya bersama kakak kepada Neelofa, Noor Nabila.

Menariknya, Sharnaaz dan Jebat berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 30 Ogos.

Bayi comel seberat 3.1 kilogram itu dilahirkan pada pukul 9.01 pagi di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Adira

Bekas bintang Akademi Fantasia musim lapan, Adira dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu menerima kehadiran cahaya mata kedua hasil perkahwinan mereka pada 9 September lalu.

Selepas menimang cahaya mata perempuan bernama Anggrek pada 10 Mac 2017, Adira selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.8 kilogram bernama Assan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Sungai Buloh pada jam 10.21 pagi.

Adira bernikah dengan Adnan di Songkhla, Thailand pada November 2015 sebagai isteri kedua.

Mia Ahmad

Pelakon drama bersiri Hati Perempuan, Mia Ahmad menerima kehadiran cahaya mata sulung, Sayf Issa pada 28 September lalu.

Mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Izham Tarmizi, Mia selamat melahirkan bayi sulung mereka pada pukul 11.15 pagi di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru.

Mia atau nama sebenar Shamiha Ahmad Baderi, 30, dan Izham, 27, mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017.

Black Hanifah

Penyanyi lagu Sofea Jane, Black Hanifah dianugerahkan dengan kehadiran cahaya mata kedua pada 25 Oktober lalu.

Isteri Black, Naquia Yasirah Mohd Khairy atau Cira selamat melahirkan cahaya mata perempuan yang diberi nama Rindu Dayyana pada jam 1.56 pagi.

Black dan Cira telah mendirikan rumah tangga pada 13 September 2013 dan dianugerahkan anak lelaki, Khaleef Dayyan yang kini berusia tiga tahun.