Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Pelbagai perkara yang berlaku sepanjang tahun ini yang menghangatkan suasana negara kita.

Siaran berita televisyen, akhbar serta portal internet juga disajikan dengan bermacam-macam perkara yang menjadi lipatan sejarah dalam kalendar 2018.

Antaranya, Pilihan Raya Umum ke-14 yang pada 9 Mei yang menjadi titik tolak perubahan iklim politik yang akhirnya mencipta pelbagai sejarah lain.

Jom kita imbas kembali sepuluh perkara yang meninggalkan kesan tersendiri sepanjang tahun 2018:

1. Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei menyaksikan kekalahan Barisan Nasional selepas 61 tahun pemerintahan sejak kemerdekaan Tanah Melayu. Tidak pernah kalah dalam 13 pilihan raya sebelumnya, PRU 14 pasti akan tercatat dalam sejarah Malaysia.

2. Pada 10 Mei, Tun Dr Mahathir Mohammad mencipta sejarah tersendiri dan menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua. Belum pernah terjadi di mana-mana negara, seseorang tokoh politik menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dalam tempoh yang berbeza. Tun Mahathir juga merupakan Perdana Menteri tertua di dunia pada usia 92 tahun.



3. Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, jawatan Timbalan Perdana Menteri disandang oleh seorang wanita. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.



4. Pada 16 Mei, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dibebaskan dari segala tuduhan dan hukuman dengan mendapat pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong. Pengampunan penuh bermakna tidak ada sebarang rekod kesalahan yang dicatit dan Datukk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta merta.

5. Pasca PRU 14 menyaksikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor didakwa di mahkamah atas 49 pertuduhan. Najib menghadapi 25 pertuduhan berkaitan 1MDB dan tujuh pertuduhan membabitkan SRC International Sdn Bhd. Rosmah pula menghadapi 12 pertuduhan berkaitan kemasukan RM7.1 juta ke akaun peribadinya dari tahun 2013 hingga 2017, dan lima lagi pertuduhan kerana tidak mengisytiharkan kemasukan tersebut dalam penyata cukai pendapatannya.



6. Pada 3 Oktober, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong. Berita ini menyayat hati rakyat Malaysia yang menyifatkan pemergian mereka sebagai kehilangan besar buat negara.





7. Sekitar 24 November, beberapa keping foto menjadi tular di laman sosial dan timbul dakwaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah mendirikan rumah tangga. Menerusi kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 November, beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak menerima sebarang pengesahan rasmi daripada pihak Istana Negara mengenai dakwaan yang menyatakan Sultan Muhammad V telah berkahwin.



8. Pada 26 dan 27 November, negara digemparkan dengan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya yang berpunca dari salah faham berkaitan dengan perpindahan kuil dan hak pemilikan tanah. Sebanyak 23 kenderaan dibakar dan sebuah jentera bomba dirosakkan. Seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dilaporkan kritikal akibat dipukul sewaktu di lokasi kejadian.



9. Kerisauan orang ramai berkaitan dengan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) membuatkan rakyat mahu berhimpun untuk menolaknya pada 8 Disember. Biarpun kerajaan telah menolak ratifikasi ICERD, perhimpunan tetap berjalan dan bertukar menjadi perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi ICERD.



10. Pada 17 Disember, Malaysia sekali lagi bersedih dengan berita pemergian Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia kerana parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya. Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN).





Kredit Foto: Bernama, Astro Awani