Penerbit Datuk A. Aida memberitahu dia tidak menghalang suaminya, Ariff Aziz, 29, untuk berkahwin lain jika menginginkan zuriat suatu hari nanti.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 47, berkata, pada usia sekarang adalah sukar untuk dia hamil lagi.

“Jika suatu hari suami bertanyakan soal anak dan saya tak boleh berikannya zuriat, saya izinkan dia berkahwin lain.

“Sebelum berkahwin, saya ada bertanya kepada suami mengenai perkara ini. Dia kata kalau tak ada rezeki, tak apa. Saya faham dia masih muda dan sudah tentu dia inginkan zuriat sendiri. Buat masa sekarang, dia tak bercakap lagi perkara ini.


“Pada usia sekarang saya berasakan sukar untuk hamil, tetapi kita tak tahu ketentuan Allah. Jika ada rezeki, adalah. Kalau tak ada, saya reda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aida yang sudah lima bulan berkahwin dengan Ariff berkata, mereka lebih banyak menghabiskan masa dan menjalankan aktiviti bermanfaat bersama antaranya memancing, bersenam di gimnasium, mengikuti kelas piano dan belajar bahasa Mandarin serta Perancis.

Aida sebelum ini pernah berkahwin dengan bekas penyanyi kumpulan Spring iaitu Ameng pada 1994 dan bercerai pada 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak iaitu Wan Az Aleesa, 21, dan Wan Azevanatassha yang kini berusia 16 tahun.

Aida kemudian berkahwin dengan pegawai polis, Suffian Sulaiman pada 2007, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian pada 2013.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 9.

Sebelum berkahwin dengan Suffian, Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis.

Sumber: Harian Metro