Kumpulan Chilok dianggotai Chiwan, Achok dan Kamal pada mulanya dianggap sebagai kurang pengalaman dan bukan saingan dalam program realiti Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018).

Bagaimanapun peserta yang turut dianggap ‘underdog’ ini bangkit selepas diberikan hanya ‘1 HA’ oleh Remy Ishak selaku juri tetap MLM 2018 pada minggu pertama.

Buktinya selepas tujuh minggu MLM 2018 bersiaran, Kumpulan Chilok sudah tiga kali diberikan ‘5 HA’ oleh juri.

Chilok ketika diminta mengulas mengenai perkara ini berkata, kerana ‘1 HA’ itulah yang menyebabkan mereka bangkit.

“Ya, kami tidak nafikan yang ‘1 HA’ tu buat kami ‘down’, tapi sebab tu juga kami masih kekal sehingga minggu ketujuh ini.

“Bangkit dari kekecewaan di minggu pertama bukan mudah sebab Chilok kena pastikan yang ‘content’ kami betul-betul boleh diterima juri.

“Tak sangka selepas tujuh minggu, daripada ‘1 HA’ kami dah dapat tiga kali ‘5 HA’...Terima kasih juri,” kata Chilok merendah diri.

Tambah Chilok, selepas kali pertama diberi ‘5 HA’, semangat terus membara untuk membuktikan yang ‘budak baru’ mampu menggegarkan pentas MLM 2018.

“Ada juga tekanan bila dapat ‘5 HA’ sebab kami kena pastikan ‘content’ ‘sampai’ kepada juri dan boleh buat satu Royal Teater ketawa!

“Adakalanya kami juga ‘down’ tetapi itu bukan bermakna patah semangat. Chilok akan terus pastikan yang lawak disampaikan berkualiti dan diterima semua,” ujar Chilok.

Chilok sebelum ini dianggotai Chiwan dan Achok merupakan juara program Qu Puteh Bintang Bersama Bintang (QPBBB), pada 2015.

Meneruskan perjuangan di minggu kelapan, Chilok berdepan laluan sukar apabila terpaksa bersaing dengan ‘otai’ MLM iaitu Zero, Shiro, Bocey, Joras, Puteh, Taman dan Masin.

MLM 2018 bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam, setiap Jumaat jam 9 malam dan boleh ditonton menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).