Penyanyi Lan Solo mengakui ada segelintir pihak terutama 'mat rock' (peminat rock) yang tidak suka apabila dirinya tampil dengan imej baru.

Menurut Lan, perkara itu dilakukan adalah untuk membezakan dirinya yang dahulunya seorang penyanyi genre rock dengan muzik yang dibawakan oleh dia sekarang ini.

"Selepas setahun bergerak secara solo saya tidak dapat nafikan bahawa ada juga mat rock yang tak suka dengan perubahan imej saya sekarang ini.

"Namun ada juga sebilangan besar yang suka dengan apa yang dilakukan oleh saya dan mereka sentiasa menyokong daripada dulu sehingga kini.

"Perubahan yang dilakukan oleh saya ini adalah untuk mencari makan dan saya ingin membezakan Lan dulu bersama kumpulan Rock dengan Lan Solo sekarang ini," katanya kepada Gempak.

Lan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Lan Solo Next Level Showcase di Sari Ratu Prima, Subang Jaya, baru-baru ini.

Lan Solo Next Level Showcase akan diadakan pada 2 Mac 2019 di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur.

Menerusi persembahan itu, Lan bakal bergabung dengan bekas ahli kumpulan Kristal yang lain iaitu Ainol, Ezal, Joe, Ejan dan Amai.

Orang ramai yang mahu menyaksikan showcase ini boleh mendapatkan tiket yang mula dijual pada harga RM 88 hingga RM 149 di talian 01116996610 dan ikuti Facebook Lan Solo untuk maklumat lanjut.