Pelawak kumpulan Zero, Atu, kesal berasa malu apabila isterinya, Shafeeqa Johari, menjual kek lapis.

Menurut Atu, tiada perasaan malu sebaliknya bangga dengan usaha isterinya itu membantu menambah pendapatan keluarga.

“Untuk pengetahuan mereka-mereka yang suka ‘membawang’ tu, isteri saya buat kek lapis sebab dia berbakat dan rajin.

“Sudah minat dia ke arah itu, saya tidak akan menghalang. Lagipun dia bukan buat perkara tidak berfaedah, selain mengisi masa lapang dapat juga tambah duit poket sendiri,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Atu, selain Kek Lapis Ozon, isterinya turut mempunya label pakaian kanak-kanak sendiri, iaitu Kids by Akueatu.

“Isteri saya ada kelulusan dalam bidang rekaan fesyen dan idea untuk mengeluarkan pakaian untuk bayi dan kanak-kanak mula timbul selepas melahirkan puteri sulung kami, Dayang Sumayyah.

“Baju-baju Kids by Akueatu, isteri ‘design’ dan jahit sendiri.

“Cuma sekarang ini isteri sedang hamil anak kedua, saya nampak dia lebih fokus kepada perniagaan Kek Lapis Ozon, mungkin kerana tidak larat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Atu dan Kumpulan Zero kini sedang berentap dalam program realiti, Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018).

Selain Zero, bintang lawak lain yang sedang bersaing merebut gelaran juara ialah kumpulan Masin, Shiro, Bocey, Chilok, Puteh, Taman dan Joras.

Minggu kelapan malam ini menyaksikan pertarungan sengit pelawak berkumpulan selepas satu-satunya bintang solo yang tinggal, Dany Beler tersinggir, Jumaat lalu.

MLM 2018 bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam, setiap Jumaat jam 9 malam dan boleh ditonton menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).