Pelakon Akhmal Nazri mendedahkan yang dia jatuh cinta pandang pertama terhadap aktres Cristina Suzanne.

Namun begitu, jangan cepat salah sangka kerana adegan ‘jatuh cinta’ tersebut hanyalah salah satu plot menarik sebuah telefilem terbaru yang berjudul Chalie.

“Menerusi telefilem Chalie, saya memegang watak Buk, suami kepada Chalie, lakonan Cristina. Mereka jatuh cinta pandang pertama. Buk seorang jejaka yang sangat mencintai dan mengambil berat terhadap Chalie,” kata Akhmal kepada Astro Gempak.

Menghadapi cabaran dari segi lakonan, Akhmal mendapat tunjuk ajar pengarah dan Cristina dalam merealisasikan watak Buk.

“Selalunya, saya membawakan watak yang lebih ringan seperti karakter Jibam dalam Oh My English. Apabila mendapat tugasan untuk membawa watak sebagai seorang lelaki yang bergelar suami, saya harus melakukan banyak kerja rumah dan menghilangkan imej Jibam dalam lakonan saya.

“Alhamdulillah, pengarah dan Cristina banyak membantu saya untuk membawakan karakter ini. Namun begitu, saya rasa banyak lagi ruang untuk saya perbaiki mutu lakonan saya di masa yang akan datang,” katanya lagi.

Berlakon di bawah arahan dua orang pengarah iaitu Bernard Chauly dan protégénya, Safwan Salleh, Akhmal berharap agar dia mendapat peluang untuk bekerjasama dengan mereka lagi di masa akan datang.

“Dua orang pengarah ini sangat membantu saya dari segi lakonan. Saya senang bekerja dengan mereka. Saya juga rasa sangat bertuah dapat bekerjasama dengan Bernard kerana dia merupakan pengarah tersohor dan saya sangat menyukai hasil kerjanya sebelum ini.

“Bercakap mengenai Safwan pula, walaupun dia masih baru, dia memberikan sentuhan terbaik dalam Chalie dan mempunyai potensi besar dalam bidang pengarahan. Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Akhmal kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk musim terbaru Oh My English.

Jangan lupa saksikan telefilem Chalie lakonan Cristina Suzanne, Akhmal Nazri, Josiah Hogan, Nadia Aqilah dan ramai lagi dalam slot Karya 12, malam ini (Sabtu), jam 10.00 malam di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 #Chalie untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.



#Repost @razaisyam with @repostapp. ・・・ Cerita pasal struggling writer, scene buku dan sajak-sajak kesepian. Dilakonkan oleh @cristinastockstill & @arikikiki Diterbitkan oleh Wayang Works Pasca produksi #TechnicaPost This is debut directing Safwan Salleh. Aku nampak potensi Safwan boleh jadi director yang power nanti, so kena raikan 1st work dia ni. #karya12

A video posted by Astro Gempak (@astrogempak) on