Penyanyi Ernie Zakri menafikan dakwaan bahawa single terbaharunya, Ku Bersuara merupakan sebuah karya ciplak.

Jelas Ernie, muzik lagu Ku Bersuara mungkin memiliki persamaan daripada segi mood dan rasa memandangkan genre muzik bluesnya sama dengan lagu-lagu antarabangsa yang dimaksudkan.

"Eh bukan... penat Syamel buat. Kasihan dia, lagu Ku Bersuara tak ciplak mana-mana lagu pun.

"Setakat ni Syamel sendiri yang menggali apa itu muzik blues dan saya pula tampil dengan konsep blues yang agak Melayu.

"Dalam muzik blues akan ada persamaan daripada sudut rasa, feel dan style nyanyiannya.

"Tapi kalau nak kata seakan-akan sama, saya rasa setiap lagu akan ada keunikan sendiri.

"Setiap artis pun akan ada inspirasi dan rujukan mereka. Kalau nak kata sama, mungkin sama genre. Muzik blues memang bunyi begitu," katanya kepada Gempak.

Sebelum ini, lagu Ku Bersuara didakwa mempunyai persamaan dengan beberapa lagu antarabangsa terkenal seperti Fallin (Alicia Keys), God Is A Woman dan Dangerous Woman (Ariana Grande).

Bagaimanapun, Ernie tidak kecewa mahupun terkilan apabila dilabelkan sedemikian.

"Saya tak terkilan malah saya gembira apabila orang memberikan perhatian terhadap lagu saya," tambahnya.


Ernie telah melancarkan single terbaharunya, Ku Bersuara berserta muzik videonya baru-baru ini.

Ku Bersuara mendapat sentuhan muzik dan lirik daripada Syamel, Omar K, Blaine Bakri dan John Jeevasingham.